CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, March 5, 2008

Pantang Larang


Pantang larang dalam permainan kuda kepang ialah pemain tidak boleh diacah semasa dalam permainan atau ketika sedang mabuk kerana ditakuti akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal.

Namun pantang larang yang utama ialah tidak boleh melihat kain berwarna merah kerana ia adalah pantang larang semulajadi. Selain itu tidak boleh terlihat atau melihat kaca atau serpihannya kerana ditakuti akan dimakan oleh pemain.

Apabila muzik mula bergema, masuklah pemain-pemain yang dipimpin oleh "danyang" memasuki gelanggang. Pemain-pemain akan menari menurut rentak dan irama lagu. Tiap-tiap penari akan menunggang atau memacu kuda anyaman (kuda kepang). Tarian yang kerap dipersembahkan dalam sesuatu majlis tarian kuda kepang ialah Tarian Solo, Tarian Selendang, Tarian Pucuk Rebung dan Tarian Kuda Kepang dinamakan "Lenggang Kiprah". Penari-penari menari sehingga mabuk atau tidak sedarkan diri selama 2 jam. Keadaan ini disebut sebagai "naik syeh".Mereka boleh melakukan perbuatan atau gerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat melompat-lompat setinggi 6 kaki dan sebagainya. Kadang-kadang pihak penganjur akan merentang kain licik untuk pemain menitinya.


Semasa penari dalam keadaan demikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak. Kononnya jika alunan muzik tidak rancak maka penari akan naik berang dan akan menerkam atau menendang pemain muzik. Kelakuan ini tidak ubah seperti kuda yang sedang berang. Jika keadaan bertambah liar, Tok Bomoh akan mengarahkan pengawal menangkap dan merebahkan mereka ke tanah, seterusnya dijampi. Penari-penari itu akan dipulihkan semula oleh Tok Bomoh dan kembali normal seperti biasa.


Menurut keterangan pemain yang mengalami kejadian seperti ini,ketika mabuk mereka bermimpi menunggang kuda sambil menari-nari dengan iringan muzik. Semakin lama bunyian itu sayup kedengaran. Kerana itulah mereka cuba mengejar muzik itu. Jelaslah tarian Kuda Kepang mempunyai semangat yang menjadi asas kepercayaan dan peminat mereka. Selain itu alat-alat kuda kepang mesti disimpan dengan baik kerana ditakuti akan dimarahi oleh 'rohnya'. Ini menunjukkan bahawa permainan kuda kepang mempunyai kepercayaan tersendiri.


Sepertimana cara perubatan tradisional, permainan kuda kepang juga tidak ketinggalan menyelitkan pengerasnya yang diserahkan kepada Tok Bomoh persembahan. Pengeras yang dimaksudkan ialah beberapa butir kemenyan, tempat bara untuk membakar kemenyan, air mentah secerek, nasi campur (nasi yang sudah bercampur lauk ayam dan sayur), kuih campur, serta yang utama sekali ialah wang sebanyak RM2.25 yang diserahkan oleh tuan rumah atau penganjur kepada Tok Bomoh persembahan. Bayaran untuk setiap persembahan atau pertunjukan kuda kepang adalah tidak kurang dari RM200 .

0 comments: